BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Hassanal Bolkiah yang memerintah Brunei, semalam memperkenalkan hukuman Islam termasuk merejam sampai mati penzina sekali gus menjadikan Brunei negara Asia Tenggara pertama yang melaksanakan undang-undang tersebut di peringkat nasional.
Baginda berkata, Kanun Hukuman Jenayah Syariah yang baru diperkenalkan semalam selepas persediaan selama beberapa tahun itu akan dikuatkuasakan secara berperingkat enam bulan kemudian.
Undang-undang tersebut akan hanya dilaksanakan terhadap penganut Islam.
Ia merangkumi hukuman Islam termasuk merejam penzina yang sudah berkahwin, memotong tangan pencuri dan hukuman sebat ke atas penganut Islam yang melakukan perlbagai salah seperti minum arak dan menggugurkan anak.
"Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai," titah baginda dalam satu ucapan.
Sultan Hassanal pertama kali mencadangkan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara yang dihuni oleh 400,000 penduduk itu pada 1996.
"Brunei menonjolkan ciri-ciri sebuah negara feudal pada kurun ke-18 berbanding anggota penting rantau ekonomi dan sosial Asia Tenggara pada kurun ke-21," kata Timbalan Pengarah Asia Pertubuhan Hak Asasi Manusia Human Rights Watch, Phil Robertson ketika mengulas perkembangan itu.
Beliau menyifatkan perubahan kepada undang-undang tersebut sebagai pencabulan hak, dibenci dan tanpa justifikasi.
Brunei telah mengharamkan penjualan dan perbuatan minum arak di tempat awam serta mengehadkan perkembangan ajaran agama lain.
Sultan Brunei sendiri melahirkan kebimbangan berhubung undang-undang syariah beberapa tahun lalu ketika kanun berkenaan dalam proses untuk disiapkan.
Namun, baginda berulang kali menyokong untuk mengukuhkan asas Islam bagi menghadapi pengaruh luar yang merosakkan termasuk internet.
Bagaimanapun, kerajaan Brunei dipercayai akan melaksanakan undang-undang syariah secara peringkat-peringkat seiring dengan cirinya sebagai sebuah negara yang aman, kata seorang felo pelawat di Pusat Pengajian Islam Omar Ali Saifuddien, Gibril Fouad Haddad.
"Adakah ia (undang-undang syariah) hanya simbolik? Saya tidak tahu," katanya. - Agensi
2 comments:
Kalau d Brunei boleh laksanakan...kenapa Malaysia tidak? Mungkin ulamak nak lihat hasil slpas 3-4 tahun dulu di Brunei kot..
i love this article.
Post a Comment