Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Friday, September 24, 2010

Polis teruskan operasi cari bukti kes Sosilawati



Pasukan penyelam polis mencari bahan bukti terbaru kes pembunuhan Sosilawati Lawiya di Kunci Air Pekan Banting, Selangor, semalam

KUALA LANGAT 23 Sept. - Polis hari ini masih meneruskan siasatan bagi mencari bahan bukti berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya, Ogos lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati, sepasukan anggota Unit Forensik serta penyelam marin giat mengadakan operasi mencari barangan peribadi milik mangsa di kawasan kunci tali air berdekatan Kampung Sungai Lang, Banting di sini kira-kira pukul 10.15 pagi ini.
Operasi pencarian itu merupakan lokasi terbaru yang dilakukan oleh pasukan polis iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan barangan peribadi dipercayai gelang emas milik Sosilawati di kawasan tali air berhampiran, Selasa lalu.
Dipercayai seorang suspek utama turut dibawa ke lokasi berkenaan hari ini sebelum operasi pencarian di lokasi berkenaan dihentikan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Malah, sepanjang operasi pencarian hari ini, difahamkan pasukan penyelam marin tidak menemui sebarang bukti di lokasi terbabit.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis telah menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.
Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek yang ditahan mengaku telah memukul keempat-empat mangsa sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu mayat mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting di sini.
Dalam perkembangan lain, isteri kepada seorang ahli perniagaan warga India yang dilaporkan hilang di Banting, awal tahun ini, S. Usharani hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini bagi memberikan keterangan lanjut berhubung siasatan kehilangan suaminya, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dipercayai ada kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
Dia yang ditemani Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), P.O. Krishnasamy tiba kira-kira pukul 2.30 petang ini dan selesai memberikan keterangan pada pukul 7.10 malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Supritendan Nordin Manan ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Usharani untuk dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan kes kehilangan suaminya itu.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan memanggil Ahli Parlimen Kapar, S. Manikasavagam untuk memberikan keterangan di IPD di sini esok kerana didakwa menyimpan dan mendengar rakaman perbualan antara Allal Kathan dengan suspek utama kes Sosilawati.
Usharani tiba di negara ini dari India kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails