Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, September 3, 2010

Renungan Ramadhan 24

Assalamu alaikum warahmatullah,
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Spektrum sedekah seperti yang dinyatakan di dalam Renungan Ramadhan 23 amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya. Termasuk di dalam definisi sedekah tersebut di dalam hadis yang diutarakan di dalam Renungan Ramadhan 23 ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut."
(surah al-Hujurat:9)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita. Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadhan al- Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu sebelum kita memastikan kesahihannya.

Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan. Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapa pun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku. 

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer. Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya. Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidak adilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Satu ketika dulu di internet pernah juga disebarkan berita mengenai salah seorang pelakon sebuah filem kanak-kanak yang terkenal masuk Islam dan kemudiannya dibunuh. Tetapi alangkah terkejutnya kita apabila kita dimaklumkan bahawa pelakon yang sama baru-baru ini berlakon di dalam filem turutan (sequel), beliau masih hidup dan kelihatannya belum Muslim. Berita ‘tokoh terkenal masuk Islam’ seperti ini telah beberap kali terjadi dan apabila didapati palsu menjadi bahan momokan di kalangan pendakyah agama lain. 

Sempena bulan Ramadhan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadhan ini, marilah kita berdoa agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

1 comment:

ACHTUNG! said...

Entah kenapa touching pulak pada entry kali ni...

Susahnya nak jadi manusia baik, dan susahnya nak jumpa manusia yang betul2 baik skrg ni kan.

Ingat lagi masa kecik2 dulu kalau jalan kaki nak masuk kampung jauh4KM, kalau ada sesapa yang nak tumpangkan, kita tak risau langsung...cuba skg ni, nak bagi anak main kat luar pago rumah sesorang pun risau... bukan tak kuat tawakal, tapi langkah keselamatan yang dipertingkatkan...

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails