Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, November 1, 2010

Kaji semula ganti pinjaman PTPTN dengan biasiswa, dermasiswa

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Konsensus Ahli Parlimen Bebas mengulangi pendirian mendesak kerajaan supaya mengkaji semula sistem pinjaman pembiayaan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan menggantikannya dengan biasiswa atau dermasiswa.
Pendirian bersama itu dikeluarkan dalam laman web rasmi mereka, www.konsensusbebazs.org dengan menegaskan bahawa adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat pendidikan sempurna dan menjadi tanggungjawab kerajaan pula menyediakan peluang yang terbaik bagi tujuan itu.
“Pendidikan untuk rakyat bukanlah suatu bentuk perniagaan. Menggalakkan rakyat untuk menimba ilmu dengan cara berhutang akan membesarkan risiko generasi muda negara kepada permasalahan hidup. Akibatnya kemajuan negara yang ingin dipacu akan terbantut,” kata mereka.
Konsensus Bebas dianggotai oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.
Konsensus itu mengulas pendedahan Laporan Audit Negara 2009 mengenai kelemahan urus tadbir perbadanan itu yang amat ketara dan wajar dielakkan.
Laporan itu menyebut bahawa PTPTN dijangka mengalami defisit aliran tunai berjumlah RM45.89 bilion sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kerana prestasi bayaran balik para peminjam tidak memuaskan selain kos pinjaman tinggi iaitu antara 3.6 hingga 5.3 peratus yang terpaksa ditanggung oleh perbadanan itu.
Jelas laporan itu, prestasi kutipan bayaran balik pinjaman pada tahun lalu sekadar 47 peratus iaitu sama dengan prestasi kutipan pada tahun 2007 tetapi lebih rendah berbanding 2008 yang mencatat 48 peratus.
Lebih memburukkan keadaan, tambah laporan itu, 33 peratus peminjam PTPTN yang sepatutnya membayar balik pinjaman mulai 2007 hingga 2009 pula mendapat kemudahan penangguhan bayaran balik.
Audit itu juga mendedahkan 82 peratus daripada 227,595 dokumen perjanjian antara peminjam dan PTPTN bagi 2008 dan 2009 masih belum ditandatangani oleh badan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, 124,070 dokumen perjanjian belum ditandatangani pada tahun lalu manakala baki 63,470 dokumen perjanjian lagi adalah untuk 2008.
Tambah Konsensus Ahli Parlimen Bebas itu, kerajaan sepatutnya memberi bantuan penuh kepada rakyat yang layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi sama seperti yang dinikmati oleh generasi terdahulu.
Kata mereka, ia amat penting bagi menjayakan hasrat melahirkan modal insan kelas pertama yang berkemahiran dan berilmu sebagai pelapis menjayakan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
“Oleh itu adalah amat perlu bagi kerajaan menilai semula keberkesanan memberi kemudahan pinjaman PTPTN sebagai satu bentuk bantuan dan galakan kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pendidikan tertinggi dan terbaik,” kata mereka.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails