Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Friday, January 14, 2011

Caj baru perayauan mudah alih Mac ini

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Malaysia dan Singapura dijangka menetapkan kadar baru yang munasabah untuk caj perayauan mudah alih termasuk panggilan telefon biasa, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan penyambungan talian dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kedua-dua pihak kini sedang meneliti perkara berkenaan termasuk mengenai penyambungan talian yang diletakkan sebagai masalah yang perlu diatasi.

"Masalah ini dijangka dapat diselesaikan kerana pada dasarnya telah dipersetujui oleh industri terlibat dari kedua-dua negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN ke-10, di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysia dan Singapura sebelum ini membentang cadangan supaya perkhidmatan perayauan mudah alih di antara kedua-dua negara diturunkan 30 peratus bagi panggilan suara dan 50 peratus bagi SMS dalam usaha meningkatkan lagi hubungan.

Cadangan itu dibentang kepada pengendali telekomunikasi di kedua-dua negara oleh badan kawal atur kedua-dua negara iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Infokom Singapura (IDA).

Dalam pada itu, Rais berkata, Pelan Induk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ASEAN 2015 yang akan diperakukan oleh mesyuarat TELMIN hanya akan dilaksanakan setelah ketua-ketua kerajaan di negara-negara anggota mengesah dan memperakukannya.

Katanya, apabila rancangan pelan TELMIN diluluskan, ia perlu diperakukan oleh ketua-ketua negara ASEAN dan kerana itu mesyuarat tersebut menyediakan perancangan untuk mesyuarat tertinggi ketua-ketua negara terlibat.

"Biasanya apa yang kita perakukan diterima oleh ketua-ketua kerajaan atau dalam perbincangan sidang kemuncak kita nanti," jelasnya.

Katanya, mesyuarat TELMIN membuka lembaran baru kepada rakan-rakan ASEAN membuat penentuan dasar serantau selain merangka cara meneroka dan memajukan dunia ICT dalam pelbagai industri, nilai-nilai serta hubungan dengan negara-negara pembantu seperti China, Korea dan Jepun.

Katanya, walaupun Malaysia berjaya menembusi 55.6 peratus dari segi isi rumah dan membekalkan jalur lebar di seluruh negara, namun yang penting kandungannya dan bagaimana negara ini boleh mengekalkan nilai-nilai positif sebagai masyarakat ASEAN seluruhnya.

"Penekanan Perdana Menteri dalam ucapannya tentang nilai hidup ASEAN amat penting diambil kira supaya dunia siber bersih daripada sebarang kekacauan dan kekotoran sebaliknya membimbing generasi akan datang dengan nilai-nilai positif," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, di dalam mesyuarat tersebut juga, pihaknya akan meletakkan dasar-dasar masa depan ICT ASEAN di samping Jepun, China dan Korea terlibat dalam pelbagai projek yang dilaksana bersama.

Beliau memberitahu, negara-negara tersebut telah menyumbang sebanyak RM9.2 juta untuk kerja-kerja penyelidikan dan sambungan menjadikan ICT sebagai salah satu daripada program induk kepada ASEAN.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails