Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, January 18, 2011

Malaysia tangga ke-22 dalam indeks keamanan dunia

PUTRAJAYA 17 Jan. - Malaysia berada pada kedudukan ke-22 daripada 149 negara dalam indeks keamanan dunia (GPI). Di kalangan negara Asia, kedudukan Kuala Lumpur di ranking kedua.

Keputusan itu menunjukkan Malaysia berada di belakang Jepun di kalangan negara Asia manakala New Zealand di kedudukan pertama dunia dalam laporan yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (Institute for Economic and Peace).

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, kedudukan terbaru itu merupakan keputusan terbaik yang pernah dicapai Malaysia berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurut beliau, kejayaan itu hasil daripada kesepakatan rakyat pelbagai kaum yang hidup dalam keadaan stabil dan aman tanpa berlaku sebarang tragedi melibatkan ketegangan kaum.

"Kedudukan Malaysia dalam GPI telah meningkat dari tempat ke-38 pada 2008 ke tangga 26 pada 2009 dan pada 2010, kita mencapai kedudukan ke-22 dan di kalangan negara Asia, kedudukan kita adalah nombor dua.

"Keadaan ini mencerminkan walaupun terdapat pelbagai isu dibahaskan namun keadaan kita memang aman dan damai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar Majlis Perutusan Tahun Baru 2011 Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Mengulas lanjut, Tsu Koon memberitahu, laporan itu dinilai berdasarkan tahap keadaan keselamatan di sesebuah negara termasuk isu kestabilan politik dan jenayah dalam masyarakat.

"Walaupun negara kita juga terdapat isu kontroversi tetapi kita tidak mempunyai masalah dari segi kestabilan dan konflik yang besar kerana negara lain juga berdepan situasi yang sama seperti kita.

"Sebagai contoh, dua tahun lalu terdapat pelbagai konflik melanda Thailand yang turut diambil kira oleh badan penilai itu," ujarnya.

Sementara itu, Tsu Koon berkata, kerajaan akan memperluaskan peranan Klinik Sosial yang akan bertindak sebagai agen mengembalikan keamanan di kawasan yang dikategorikan sebagai panas dan berisiko tinggi.

"Sebenarnya Klinik Sosial ini satu konsep bukan sebagai klinik yang ada dewan bedah, tetapi ada beberapa orang tengah (mediator) bersama dengan pemimpin rukun tetangga dan pemimpin persatuan penduduk untuk berunding bersama menyelesaikan masalah.

"Dan kita akan memperluaskan peranan klinik ini seperti klinik bergerak yang akan terus bertindak ke tempat kejadian untuk berbincang jika sesuatu yang buruk berlaku," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails