Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, January 18, 2011

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berkuat kuasa 1 Feb.

CYBERJAYA 17 Jan. - Pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari ini sekali gus membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap pesalah lalu lintas di semua jalan termasuk jalan kampung dan tempat meletak kenderaan bertingkat.

Di bawah pindaan yang sama, JPJ berkuasa menggantung lesen memandu secara dalam talian sekiranya seseorang pemandu mengumpul sistem mata Kesalahan Jalan Raya (Kejara) lebih daripada 15 mata.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, apabila dikuatkuasakan nanti, pertikaian mengenai kegagalan pemandu menerima saman juga dapat dielakkan kerana pemandu diwajibkan mengemas kini alamat mereka dengan JPJ dalam tempoh dua bulan selepas berpindah rumah.

''Pindaan ini akan membawa pelbagai faedah termasuk memberi kuasa penguatkuasaan kepada JPJ sekiranya berlaku kemalangan di kawasan off-road seperti di tempat meletak kenderaan bertingkat.

''Pindaan akta mengenai kereta elektrik bagaimanapun belum dapat dilaksanakan pada Februari ini kerana terdapat soal teknikal yang perlu diselesaikan, ini termasuk bagaimana menentukan kadar cukai jalannya'' katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pusat Data JPJ di sini hari ini.

Pindaan APJ 1987 yang telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember lalu membolehkan JPJ menguat kuasa di semua jalan termasuk jalan di ladang, kebun, kampung serta kawasan perumahan.

Ia turut membolehkan pemilik kenderaan yang gagal memaklumkan pertukaran alamat kepada jabatan itu dalam tempoh dua bulan dikompaun RM300.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pindaan akta tersebut selepas dilaksanakan akan memudahkan JPJ menggantung lesen memandu pesalah trafik.

''Sebelum dipinda, pemandu yang mengumpul mata Kejara perlu menyerahkan lesen memandu mereka secara fizikal. ''Pindaan akta ini bagaimanapun membenarkan JPJ menggantung lesen memandu berkenaan secara dalam talian, surat makluman pula akan dihantar ke alamat pemandu.

''Pegawai penguat kuasa akan dibekalkan dengan alat khas yang mampu mengesan sama ada lesen memandu yang dipegang itu masih sah atau telah digantung," katanya.

Solah memberitahu, pindaan APG 1987 turut memberi kebaikan kepada pesalah trafik yang menjelaskan kompaun dalam tempoh dua bulan di mana mata Kejara mereka tidak akan ditolak.

Malah, jelasnya, pindaan APG 1987 turut membolehkan perkongsian data antara semua agensi penguat kuasa secara masa nyata (real time).

''Pada masa ini mungkin berlaku pertembungan data antara JPJ dengan polis di mana satu saman mungkin telah dilangsaikan dalam pangkalan polis tetapi ia masih ada di dalam pangkalan JPJ.

''Melalui perkongsian data secara masa nyata, masalah ini dapat dielakkan dan JPJ akan berkongsi data dengan semua agensi penguatkuasaan termasuk polis, Jabatan Alam Sekitar dan juga Imigresen," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails