Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, January 12, 2011

Wajib hantar PUSPAKOM

KUALA LUMPUR: Motosikal terpakai yang hendak dijual akan diwajibkan menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi melindungi pengguna daripada membeli kenderaan curi atau diubahsuai secara haram.

Jika cadangan PUSPAKOM itu diluluskan, dianggarkan kira-kira tiga juta motosikal terpakai yang digunakan sekarang dan berada di kedai menjual motosikal perlu menjalani pemeriksaan jika maju ditukar hak milik atau dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Hisham Othman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi bagi mengelak pembeli ditipu selain menjaga keselamatan pemilik baru kenderaan itu.

“Sebelum ini tidak pernah ada pemeriksaan berjadual untuk motosikal berbanding kereta, bas dan lori. Oleh itu, cadangan ini dapat mengesan sama ada motosikal yang dalam proses jual beli itu dalam keadaan baik atau mengenal pasti identitinya, sama ada kenderaan curi atau tidak, keadaan badan, enjin serta memiliki peralatan seperti lampu dan cermin.

“Pemeriksaan seumpama ini juga dapat mengesan motosikal yang mengeluarkan bunyi bising dan motosikal potong,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Ketika ini, kenderaan persendirian diwajibkan menjalani pemeriksaan mandatori di PUSPAKOM bagi tukar milik kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan dikenakan caj sebanyak RM50. 
Hisham juga memberi jaminan akan mengenakan caj pemeriksaan motosikal yang lebih rendah berbanding kenderaan lain jika cadangan itu diluluskan.

“Saya percaya rakyat dan pembuat dasar akan setuju dengan cadangan ini kerana ia dapat menjaga keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya,” katanya.

Malah, katanya, cadangan itu juga dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan maut di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal terutama jika ia berpunca daripada motosikal rosak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia, Wee Hong, berkata mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 500,000 motosikal baru dijual setiap tahun di negara ini.

“Sehingga akhir 2010, sebanyak 9.4 juta motosikal berada di jalan raya di seluruh negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, dianggarkan 35 peratus daripadanya dijual sebagai motosikal terpakai menerusi ejen penjual motosikal dan skuter termasuk 5,000 ahli persatuan berkenaan. 

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails