Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, January 25, 2011

Wujudkan Institut Kesultanan

PUTRAJAYA 24 Jan. - Sekumpulan ahli akademik meminta kerajaan mewujudkan sebuah Institut Kesultanan yang akan berfungsi sebagai satu badan integriti memulihara kepentingan institusi raja sekali gus menyuburkan elemen patriotisme di kalangan rakyat.

Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain daripada Pusat Pengajian Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) percaya institut itu kelak akan menjadi pusat sumber rujukan terpenting khususnya kepada golongan muda dalam usaha menghayati dan menyelami Rukun Negara kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Menurutnya, idea cadangan itu muncul ketika beliau menghasilkan satu bab tulisannya mengenai Rukun Negara yang bakal diterbitkan oleh Kursi Tun Abdul Ghafar Baba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.

"Ketika sedang menyiapkan 30 muka surat bab berkenaan, saya terfikir mengapa negara ini masih tidak mempunyai sebuah institut sedemikian ketika di negara-negara lain seperti England dan Sweden sudah lama mewujudkannya untuk memulihara dan seterusnya menyuburkan nilai institusi raja mereka di sana.

"Saya fikir seeloknya UPSI yang memakai nama sultan memainkan peranan ini dengan mencetuskan usaha menubuhkan institut serupa ini tetapi setakat ini belum kelihatan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Ahmad Atory, sebelum ini beliau ada mengesyorkan kepada UPSI supaya mewujudkan Institut Patriotisme Pembesar Perak yang memaparkan peranan serta jasa tokoh-tokoh seperti Datuk Sagor, Datuk Maharaja Lela, Ngah Ibrahim dan Long Jaafar.

"Tetapi sehingga hari tiada maklum balas yang diterima. Apa pun, saya yakin penubuhan Institut Kesultanan ini akan mendapat sokongan ramai termasuk daripada pihak istana sendiri," katanya.

Turut senada dengan beliau ialah Prof. Mohamad Md. Yusoff daripada USM yang percaya institut berkenaan akan menjadi gedung ilmu bernilai yang kemudian mampu meneruskan survival institusi raja pada era moden masa kini.

Beliau yang merupakan pensyarah jurusan komunikasi di universiti itu menarik perhatian penubuhan institusi-institusi di beberapa universiti tempatan yang bertujuan menyemarakkan percambahan idea dan pemikiran tokoh tertentu antaranya Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Mengapa di Perak kita tidak ada institusi sedemikian yang saya yakin UPSI sesuai untuk platform tujuan ini.

"Kalau kita tidak menjayakan perkara ini (mengangkat institusi kesultanan) selain daripada kerajaan sendiri, siapa lagi? Malah, kalau ada pihak tertentu menghentam raja, raja-raja mungkin tidak boleh membela diri secara segera dan terbuka, jadi dalam soal ini, Institut Kesultanan boleh 'ambil alih' peranan ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pembelajaran Futuristik, Kreativiti dan Inovasi di Seksyen 8, Kota Damansara, Prof. Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid berpendapat, Institut Kesultanan berkenaan jika berjaya direalisasikan perlu dianggotai oleh para cendekiawan dalam bidang kajian kenegaraan dan sejarah serta mereka yang mempunyai susur-galur raja-raja.

"Ini supaya ia dapat memberi gambaran yang betul dan tahu tentang tatasusila raja dan adat istiadat. Kalau boleh, satu dua orang anggotanya datang dari istana sendiri supaya dapat dibina imej serta memperjelaskan kepentingan Raja-Raja Melayu.

"Cuma pandangan peribadi saya ialah biarlah institut ini bebas daripada orang politik. Cuma dianggotai golongan akademik supaya kebolehpercayaan diperakui rakyat jelata," kata bekas pensyarah Universiti Malaya ini.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails