Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, March 1, 2011

15,000 pembantu am naik pangkat

IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 pembantu am pejabat akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji sekiranya permohonan kenaikan itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji dan menyelaraskan semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan itu ketika ini.

Menurutnya, pelarasan itu perlu kerana penjawat jawatan itu sebelum ini hanya berkelulusan rendah seperti di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding kini apabila turut disertai lulusan diploma dan ijazah.

“Memorandum telah dihantar kepada JPA enam bulan lalu dan kita sedang menunggu kelulusan permohonan tersebut. Saya menjangkakan keputusannya akan diketahui tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan penerangan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Asri Saad dan Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.

Omar berkata, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dilihat akan meningkatkan lagi semangat penjawat jawatan itu untuk bekerja keras.

“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat.

“Justeru itu, apabila adanya keselarasan, ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar nama KPAP kepada nama yang lebih bersesuaian agar selaras dengan tanggungjawab mewakili persatuan itu.

Katanya, kini tugas pembantu am pejabat tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat sahaja malah meliputi pelbagai cabang tugasan.

“Dulu memang tugas mereka hanya tertumpu di pejabat tapi kini ada antara mereka bertugas di luar seperti di makmal dan sebagainya.

“Justeru itu kita akan berbincang dengan JPA untuk mencari nama yang lebih sesuai untuk persatuan ini,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails