Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, March 1, 2011

Kaunter bayar saman trafik sesak di seluruh negara

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Sikap menunggu sehingga saat-saat akhir pengguna jalan raya bagi melunaskan bayaran saman sememangnya telah dijangkakan meskipun ramai yang sedia maklum akan berlaku kesesakan di setiap kaunter bayaran.

Pengguna kenderaan yang mempunyai saman sanggup menunggu di kaunter trafik dan pejabat-pejabat pos seawal pukul 7 pagi sedangkan mereka boleh melakukan perkara sama tanpa perlu beratur panjang sebelum ini.

Sikap ini menyebabkan mereka bukan sahaja terpaksa beratur panjang, malah perlu menunggu berjam-jam lamanya untuk membayar saman, ditambah lagi sistem perkhidmatan atas talian di kaunter-kaunter bayaran itu tergendala.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa cawangan trafik termasuk di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) serta kaunter Pos Malaysia mendapati suasana sama sahaja iaitu kesemuanya menanti nombor giliran mereka dipanggil.

Salah seorang pembayar saman, Azman Anuar, 40, memberitahu, dia hadir pada saat akhir membayar saman memandangkan gaji bulanan baru diterimanya hari ini.

"Hari ini kebetulan adalah hari gaji dan pada bulan ini sahaja, sumber pendapatan saya boleh digunakan untuk melangsaikan saman ini," katanya.

Bagi Najib Zulkifly, 39, pula, dia telah ke lima cawangan trafik sekitar ibu negara termasuk pejabat pos hari ini, namun kesemuanya dipenuhi oleh pengguna kenderaan yang mahu membayar saman.

"Nasib baik nombor giliran di kaunter Bukit Aman masih belum habis, kalau tidak, saya terpaksa membayar saman dengan kadar baru nanti," ujarnya.

Tinjauan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pula mendapati, mesin tiket nombor giliran terpaksa diberhentikan kira-kira pukul 11.30 pagi sekali gus membuatkan orang ramai tidak berpuas hati.

Salah seorang pembayar saman, R. Shree, 65, berkata, dia kesal dengan keadaan itu dan berharap pihak bertanggungjawab lebih bersedia dalam menghadapi situasi kelam-kabut yang sememangnya dijangka akan berlaku.

"Keadaan sesak seperti ini memang sudah dijangkakan namun pihak polis sepatutnya sudah bersedia lebih awal," katanya.

Wan Shari Ariffin, 45, pula berkata, polis sepatutnya menyediakan kemudahan yang khusus dan selesa kepada pembayar saman sementara menunggu nombor giliran mereka.

"Suasana sesak ini memang telah dijangka dan saya ingatkan polis menyediakan kaunter yang lebih banyak tetapi tidak," jelasnya.

Di Pejabat Pos Wangsa Maju turut kecoh apabila nombor giliran tidak berganjak sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Malah ada di antara mereka merayu agar kerajaan melanjutkan kembali tempoh pembayaran kerana masalah sistem yang didakwa tergendala.

"Saya berharap tempoh bayaran saman ini dapat dilanjutkan bagi memudahkan proses bayaran saman kerana sistem komputer tergendala dan itu bukan salah kami," kata pekerja swasta, Shaharudin Mohd Salleh, 45.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails