Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, February 10, 2011

Dasar AP tidak akan berubah

KUANTAN 9 Feb. - Kerajaan tidak berhasrat mengubah dasar pemberian Permit Import (AP) yang dipraktikkan selama ini. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sistem pemberian AP yang diamalkan pada tahun ini tetap sama iaitu 10 peratus daripada jumlah kuantiti industri (TIV) pada tahun sebelumnya.

"Jumlah pemberian AP adalah 10 peratus daripada TIV, itu polisinya dan polisi ini sudah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya dan tiada perubahan pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Automotif DRB-Hicom Pekan di sini semalam.

Menurutnya, daripada 10 peratus tersebut, enam peratus diagihkan kepada pemegang AP terbuka yang kesemuanya bumiputera manakala empat peratus lagi diagihkan kepada pemegang AP francais.

Mengenai dakwaan pemegang AP francais kononnya pemberian permit itu dikurangkan pada tahun ini manakala pemegang AP terbuka jumlahnya dinaikkan, Mustapa menjelaskan, perkara itu tidak wujud sama sekali.

"Amaun pengagihan untuk kedua-dua pemegang tetap sama. Seperti yang saya katakan ia mengikut TIV, sekiranya TIV tinggi maka tinggilah pengagihan untuk pemegang," jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan 20 pemegang AP francais untuk memberikan penerangan berhubung pengagihan permit tersebut.

Katanya, tiada sebarang rasa tidak puas hati dibangkitkan oleh mereka sepanjang pertemuan itu.

"Kita beritahu mereka bahawa tiada perubahan dalam polisi sistem AP dan mereka berpuas hati dengan penerangan yang diberikan pegawai kami," ujarnya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, DRB-Hicom telah melabur sebanyak RM1.9 bilion di Kompleks Automotif miliknya di sini bagi membangunkan pelbagai prasarana.

Katanya, ia merangkumi RM800 juta untuk membangunkan kompleks berkenaan, RM400 juta untuk Kolej Antarabangsa Automotif manakala RM700 juta adalah pelaburan usahasama DRB-Hicom bersama pihak Volkswagen AG (VWAG) yang dibuat dua bulan lalu.

"Jumlah tenaga kerja di empat kilang di Kompleks Automotif Pekan kini berjumlah 2,300 orang yang menjadikan DRB-Hicom sebagai majikan terbesar di sini dan jumlah itu akan ditambah kepada 800 orang lagi apabila operasi pengeluaran usahasama antara DRB-Hicom dan VWAG berlangsung sepenuhnya November ini.

"Dengan tenaga kerja seramai 3,100 orang, dapat dilihat DRB-Hicom memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara selari dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails