Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, February 10, 2011

PDRM ambil alih talian NUR Alert

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sistem NUR Alert (National Urgent Response Alert) yang diwujudkan kerajaan bagi membantu mengesan kehilangan kanak-kanak kini diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sistem tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diserahkan kepada PDRM sejak 17 Januari lalu bagi memudahkan urusan penerimaan maklumat, siasatan dan hebahan dilakukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, penyerahan itu dilakukan selepas satu mesyuarat diadakan pada tarikh tersebut dan dipersetujui agar sistem berkenaan diserahkan kepada PDRM.

"Sehubungan itu, orang ramai disarankan agar menggunakan sepenuhnya sistem itu bagi menyalurkan maklumat berkenaan kes kehilangan kanak-kanak.

"Masyarakat juga boleh menggunakan sistem itu sebagai tindakan awal apabila melihat sesuatu kes penculikan kanak-kanak," katanya di sini, hari ini.

NUR Alert merupakan satu sistem amaran awal iaitu satu hebahan akan dibuat oleh pasukan khas termasuk polis dan agensi-agensi kerajaan serta bukan kerajaan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak.

Orang ramai yang terlibat atau kehilangan saudara -mara mereka di bawah umur boleh menghubungi pihak polis di mana-mana balai polis berhampiran sebelum sistem itu diperluaskan di seluruh negara.

Hebahan itu dibuat melalui paparan maklumat mengikut agensi masing- masing. Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan akan meletakkan kain rentang di setiap lebuh raya selepas dimaklumkan mengenai kehilangan kanak-kanak.

Institusi kewangan pula akan memaklumkan kehilangan kanak-kanak itu melalui hebahan dalam mesin juruwang automatik (ATM) dan laman web bank-bank tersebut.

Beliau memberitahu, selain polis, semua agensi kerajaan yang lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta seperti institusi-institusi perbankan akan turut bekerjasama dalam menjayakan sistem NUR Alert selepas ini.

Katanya, NUR Alert akan melakukan hebahan tentang kehilangan kanak-kanak melalui pelbagai saluran seperti poster, laman web, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan papan kenyataan elektronik di agensi-agensi terlibat.

Dalam pada itu, Mohd. Bakri turut menyarankan ibu bapa memberi lebih perhatian terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun.

"Ini kerana kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak tahu tentang isu penculikan selagi mereka tidak diajar mengenai langkah pencegahan," ujarnya.

Jelasnya, setakat ini tiada kes kehilangan kanak-kanak dilaporkan melalui sistem NUR Alert sejak ia diambil alih oleh polis.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails