Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, February 11, 2011

HP lancar komputer tablet baru

Edisi digital majalah Sports Illustrated yang dipaparkan di komputer tablet TouchPad pada majlis pelancarannya di Herbst Pavilion, Pusat Fort Mason, San Francisco, kelmarin. - Reuters
SAN FRANCISCO 10 Feb. - Hewlett-Packard Co. melancarkan komputer tablet keluarannya, TouchPad yang akan mula dijual pada musim panas ini, sekali gus memberikan saingan dalam pasaran yang dikuasai oleh iPad keluaran Apple Inc dan gajet yang mengaplikasikan perisian Google Inc.

Komputer tablet berukuran 9.7 inci yang mengaplikasikan sistem operasi webOS ciptaan Palm itu merupakan taruhan HP, andai masih terdapat ruang bagi mewujudkan platform perisian baru untuk gajet seumpamanya pada masa ini.

Ia disifatkan sebagai satu risiko seperti yang ditekankan oleh berita kerana Nokia mungkin meninggalkan perisiannya sendiri bagi menggunakan perisian ciptaan Microsoft Corp atau Google.

Butiran harga dan maklumat lain mengenai TouchPad seberat 1.5 pound yang mengoperasikan cip Qualcomm Inc dan menyokong panggilan video itu akan diumumkan kemudian.

Syarikat teknologi terbesar dunia berdasarkan pendapatan itu semalam, turut mengumumkan pelancaran telefon pintar barunya, Veer dan Pre3 berasaskan perisian webOS yang diperoleh HP pada musim panas lalu dalam pembelian bernilai AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) daripada perintis telefon mudah alih, Palm.

Eksekutif syarikat menegaskan, perisian webOS adalah satu platform kukuh yang mahu diaplikasikan kepada pelbagai alatan termasuk komputer peribadi seterusnya pada tahun ini.

"Kami berfikir jauh hari ini. Kami mempunyai satu komitmen untuk mengembangkan jejak webOS, malah lebih jauh seperti perkembangan yang mengambil masa selama bertahun-tahun.

"Komitmen kami ialah untuk mengembangkan pengalaman webOS ke seluruh alatan yang ada untuk pengguna kami," kata ketua bahagian komputer peribadi, Todd Bradley kepada wartawan.

WebOS dilihat ramai sebagai platform yang kukuh, tetapi HP berhadapan pertarungan sukar untuk mendapatkan kuasa tarikan dalam pasaran gajet.

Produk mereka lewat memasuki pasaran yang sememangnya sudah dipenuhi dengan persaingan daripada Apple dan alatan yang berasaskan kepada Android oleh Google. - REUTERS

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails