Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, February 8, 2011

Operasi keluar dari Mesir selesai

PARA pelajar Malaysia yang diterbangkan dari Jeddah kelihatan gembira dapat pulang ke tanah air dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir ditamatkan hari ini dengan dua penerbangan terakhir berlepas dari negara bergolak itu menuju ke Jeddah, Arab Saudi.

Dua penerbangan tersebut membabitkan pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan AirAsia melalui Kaherah serta Iskandariah.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, dari Iskandariah, seramai 151 pelajar diterbangkan ke Jeddah dengan menaiki AirAsia manakala pesawat Charlie pula mengangkut 110 pelajar melalui Kaherah.

Menurut beliau, kedua-dua pesawat berkenaan berlepas sekitar pukul 12 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia.

''Saya sendiri meninggalkan Iskandariah dan menyertai seramai 151 orang pelajar ke Jeddah. ''Ini adalah penerbangan terakhir termasuk pesawat Charlie dari Kaherah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahlan berkata, dengan dua penerbangan tersebut, operasi memindahkan pelajar serta rakyat Malaysia dari negara bergolak itu telah berakhir.

Ditanya mengenai segelintir penuntut di Mesir yang tidak mahu dipindahkan, jelasnya, ia hanya membabitkan sebahagian penuntut tahun akhir jurusan perubatan yang kini sedang menjalani latihan kedoktoran di hospital.

''Mereka ini belajar, menetap dan menjalani praktikal di hospital yang disahkan selamat. Tidak ada masalah. ''Atas sebab itu, mereka tidak mahu dipindahkan,'' ujar beliau.

Di Kaherah pula, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, pihaknya bersama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab serta 110 penuntut berlepas ke Jeddah menerusi pesawat Charlie.

''Pada awalnya, kita menganggar seramai 200 penuntut akan dibawa ke Jeddah dengan pesawat terakhir ini, tetapi yang hadir hanyalah 110 orang.

''Namun, walaupun telah berakhir, TUDM masih menempatkan dua buah pesawatnya di Kaherah sehingga mendapat arahan seterusnya,'' tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata, MAS kini memasuki fasa kedua untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Katanya, sehingga hari ini, MAS telah menerbangkan 2,160 rakyat Malaysia keluar dari Kaherah menggunakan khidmat enam buah pesawat.

''Dilaporkan bahawa 14,000 penuntut di Mesir telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah. ''Dalam memastikan operasi pemindahan itu berjalan dengan lancar, MAS memerlukan lapan hak pendaratan di Mesir dan Arab Saudi. Syukur kerana MAS memiliki hubungan yang baik dengan kedua-dua negara terbabit,'' ujar beliau.

Kumpulan pertama 778 warga Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir melalui Ops Piramid, selamat tiba di tanah air hari ini.

Rakyat Malaysia itu termasuk penuntut di Mesir menaiki MAS dan AirAsia dari Jeddah, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 pagi. Seramai 459 orang adalah penumpang MAS manakala 319 lagi penumpang AirAsia.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails