Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, February 23, 2011

RON95 tidak naik masa terdekat

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kerajaan sedang mengkaji pelbagai opsyen untuk tidak menaikkan harga petrol dalam waktu terdekat ini walaupun terdapat beberapa negara telah menaikkannya dua kali dalam tempoh tiga bulan berikutan kenaikan ketara harga minyak dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan sedang mencari opsyen lain bagi mengelakkan kenaikan itu.

Pada masa sama, beliau turut menafikan khabar angin kononnya harga petrol RON95 akan dinaikkan dalam waktu terdekat ini.

"Siapa kata harga RON95 akan naik? Itu khabar angin. Setakat ini tidak. Saya tidak mahu jadi tukang nujum pula, setakat ini kerajaan sedang melihat secara keseluruhan kerana untuk menjimatkan belanja bukan hanya dengan cara menaikkan harga minyak.

"Banyak cara dan opsyen lain boleh dilakukan supaya tidak membebankan rakyat berikutan kenaikan harga minyak dunia yang terlampau tinggi ketika ini," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Pelaksanaan Projek EPP3-Permodenan Bengkel Automotif (ATOM) di Pusat Latihan Harta Intelek di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika kerajaan menaikkan harga minyak, harga barang lain akan naik lebih tinggi dan begitu juga jika kerajaan tidak memberi subsidi untuk petrol, diesel serta empat produk makanan kawalan, harga kesemua itu akan jauh lebih tinggi dari sekarang.

Mengenai setakat mana kerajaan boleh bertahan tidak menaikkan harga petrol, beliau berkata: "Saya tidak boleh jawab kerana semakin lama bertahan, semakin besar tanggungan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan."

Katanya, keadaan itu mungkin menyebabkan projek-projek yang sedang dijalankan tidak dapat diteruskan kerana hendak menampung subsidi.

"Kalau harga minyak terus naik seperti sekarang, tanggungan subsidi akan mencecah RM14 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion untuk subsidi dan sekiranya harga minyak terus naik, kos itu akan meningkat kepada RM14 bilion.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails