Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Thursday, March 3, 2011

1,086 diisytiharkan bankrap

PUTRAJAYA 2 Mac – Ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan.

Pada 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong justeru berkata, masalah itu perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi mereka.

“Sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi itu ialah Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana menangani isu berkaitan hutang dan kebankrapan.

Mengulas isu itu, Omar berkata, ia perlu dipandang serius memandangkan mereka yang terlibat kebanyakannya sedang berkhidmat dengan kerajaan.

Beliau berkata, pendedahan yang mengejutkan itu akan memberikan imej buruk kepada identiti penjawat awam yang kini berjumlah 1.2 juta orang di seluruh negara.

“Paling membimbangkan adalah kesan kepada penjawat awam sendiri yang mana semua hak keistimewaan ketika berkhidmat dengan kerajaan akan terhapus.

“Keistimewaan seperti kemudahan pencen ketika sudah bersara nanti tidak akan dinikmati oleh mereka akibat berstatus bankrap itu,” katanya.

Sementara itu, taklimat hari ini juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan mula dikuatkuasakan pada 15 Disember lalu, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

Ahli CUEPACS yang berpendapatan kurang RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails