Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, March 3, 2011

Bayar saman diskaun dilanjut

PUTRAJAYA 2 Mac - Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh bayaran saman trafik yang berakhir Isnin lepas selama 10 hari lagi, bermula semalam sehingga 10 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lanjutan tempoh diskaun 50 peratus bayaran saman tersebut bagi membolehkan orang ramai melunaskan tunggakan saman mereka.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rintihan orang ramai yang ingin menjelaskan saman tetapi gagal berbuat demikian ekoran masalah sistem tergendala serta kesesakan kaunter di seluruh negara.

''Mereka nak bayar saman tetapi sistem tergendala kerana ramai sangat nak bayar masa itu.

''Jadi untuk mereka yang ikhlas dan jujur hendak bayar saman tetapi tidak dapat membayar dalam dua ke tiga hari lalu, jadi kita buat keputusan untuk memanjangkan tempoh 10 hari lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, sebanyak 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pengguna kenderaan di seluruh negara akan disenaraihitamkan mulai Selasa.

Tindakan itu diambil setelah tempoh yang diberikan untuk orang ramai membayar saman tersebut sejak Ogos tahun lalu, berakhir.

Kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan kepada orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenaraihitam pesalah juga terpaksa ditangguhkan.

Sepanjang tempoh tersebut hanya 1.5 juta saman diselesaikan pesalah trafik dalam tempoh seminggu sehingga tengah malam semalam, iaitu tarikh akhir diskaun yang ditawarkan polis.

Hishammuddin menambah, keputusan melanjutkan tempoh bayaran saman itu adalah muktamad tanpa mengubah keputusan asal kerajaan untuk menyenaraihitamkan kenderaan yang gagal menjelaskan saman selepas tarikh ditetapkan.

''Mereka yang melakukan kesalahan perlulah menjelaskan saman masing-masing sepanjang tempoh 10 hari yang telah diberikan ini jika tidak mahu disenaraihitamkan," katanya.

Katanya, proses pembayaran dalam tempoh lanjutan ini akan dipantau dengan teliti.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang rayuan berhubung kesahihan kesalahan dinasihatkan supaya mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails