Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, April 29, 2011

Lebih ramai pemberi rasuah ditangkap berbanding penerima

KUALA LUMPUR 28 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menahan lebih ramai pemberi rasuah berbanding penerima sepanjang tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada 944 tangkapan rasuah yang dibuat tahun lalu, 430 daripadanya merupakan pemberi rasuah berbanding 380 penerima.

Jelas beliau, ia merupakan peningkatan sebanyak 298 peratus berbanding 108 tangkapan di kalangan pemberi rasuah pada 2009 manakala penerima rasuah pula sebanyak 294 tangkapan.

"Ini merupakan peningkatan yang amat besar hasil usaha kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai dan penjawat awam mengenai kesan dan tindakan sekiranya mengamalkan rasuah.

"Malah, ia juga boleh dijadikan indikator mengenai peningkatan integriti di kalangan pegawai perkhidmatan awam," katanya selepas majlis penyerahan Laporan Tahunan SPRM 2010 kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan sepanjang tahun lepas, 84 daripadanya membabitkan kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu peningkatan sebanyak 24 tangkapan berbanding tahun sebelumnya.

Bagi kesalahan penggubahan wang haram pula, jelasnya, empat tangkapan dibuat sepanjang 2010 berbanding hanya satu tangkapan pada tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 45 tangkapan pula dibuat tahun lepas membabitkan kesalahan lain termasuk di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan iaitu peningkatan berbanding 29 kes pada 2009.

Menurutnya, kesalahan menggunakan kedudukan dan jawatan merupakan satu-satunya jenis kesalahan rasuah yang menurun jumlah tangkapannya tahun lalu iaitu hanya satu tangkapan berbanding lapan pada 2009.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails