Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Tuesday, April 26, 2011

Malu bertutur bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 25 April - Rakyat di negara ini diminta supaya tidak memandang remeh bahasa Malaysia dengan berasa malu untuk bertutur di khalayak ramai seolah-olah bahasa kebangsaan itu bukan bahasa ibunda negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Malaysia yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia.

Menurut beliau, dari segi jumlah penggunaan bahasa di seluruh negara bahasa kebangsaan adalah jauh lebih kerap digunakan berbanding bahasa-bahasa lain.

''Saya rasa ini kerana sikap, mungkin jika tidak menggunakan bahasa Inggeris tidak glamor dan seolah-olah bahasa Malaysia ini adalah bahasa yang rendah.

''Paling penting adalah soal keyakinan untuk menggunakan bahasa kita. Oleh itu, saya menekankan supaya kempen menggunakan bahasa kebangsaan harus diteruskan," katanya ketika menjawab soalan tambahan ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Firdaus ingin tahu punca kemerosotan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat negara ini termasuk kakitangan awam dan syarikat swasta yang dilihat seperti ada yang tidak kena terhadap cara pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan di negara ini.

Muhyiddin yang merupakan Menteri Pelajaran tidak menafikan bahawa wujud rasa bimbang pihaknya terhadap kemunduran penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat hari ini yang lebih mengalu-alukan bahasa Inggeris.

Menurutnya, senario tersebut turut berlaku dalam majlis-majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa luar terpaksa diutamakan sekiranya para jemputan terdiri daripada pihak negara luar walaupun bilangannya sangat kecil.

''Cuba lihat dalam majlis-majlis kerajaan, walaupun dalam majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga 'mat salleh' tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.

''Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan," jelas beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, suasana kurang mesra bahasa kebangsaan di negara ini jauh berbeza dengan keadaan negara-negara besar dunia seperti China dan Jepun iaitu rakyatnya begitu bangga dengan bahasa sendiri, malah mendaulatkan penggunaannya pada semua peringkat.

''Sewaktu saya di China baru-baru ini, mereka di sana bercakap semua dalam bahasa mereka, apabila ada sesuatu majlis, bahasa utama mereka juga adalah bahasa ibunda negara itu, cuma apabila hendak bercakap dengan kita barulah mereka menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, untuk memastikan keadaan kurang yakin terhadap bahasa Malaysia, kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang telah mengadakan mesyuarat pertama bagi melihat bagaimana bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan kepada kedudukannya yang sepatutnya.

Di samping itu, kata Muhyiddin, kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan juga antara faktor berlakunya keadaan bahasa Malaysia dipinggirkan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails