Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, June 28, 2011

Kerajaan kaji keperluan tenaga nuklear sebagai opsyen jana elektrik

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan masih mengkaji keperluan tenaga nuklear sebagai satu opsyen penjanaan tenaga elektrik, dengan mengambil kira insiden ketidakstabilan loji nuklear di Jepun akibat gempa bumi di negara itu, baru-baru ini. 

Najib berkata, kerajaan juga memperincikan rancangan jangka pendek dan panjang yang mengambil kira pelbagai aspek infrastruktur seperti yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). 

Menurutnya, untuk perancangan jangka pendek, tumpuan adalah pada pelaksanaan kajian terperinci oleh juru runding antarabangsa yang berpengalaman dalam projek-projek loji jana kuasa nuklear. 

“Kajian itu antaranya mengenai penyediaan Pelan Pembangunan Infrastruktur Kuasa Nuklear (NPIDP) yang merangkumi penilaian terhadap tahap kesediaan negara dalam kesemua 19 aspek infrastruktur. 

“Kajian juga dibuat mengenai penyediaan maklumat mengenai pelbagai aspek penggunaan kuasa nuklear kesemua pihak berkepentingan termasuk tinjauan pendapat umum mengenainya. 

“Turut dilakukan kajian terperinci untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan loji janakuasa nuklear berdasarkan kriteria pemilihan yang disyorkan IAEA dan lazim digunakan di negara-negara maju,” katanya. 

Najib berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan membatalkan rancangan untuk membina loji tenaga nuklear yang pertama di Malaysia setelah peristiwa kebocoran loji nuklear yang tidak terkawal berlaku di Fukushima, Jepun, Mac lepas. 

Perdana Menteri berkata, rancangan jangka panjang akan dirumuskan berdasarkan NPIDP termasuk pembangunan perundangan dan sistem kawal selia nuklear negara yang komprehensif, pengurusan pihak berkepentingan, pematuhan terhadap sistem tadbir urus nuklear antarabangsa dan pembangunan modal insan. 

Susulan daripada kemalangan di loji nuklear di Fukushima, beliau berkata, kebanyakan negara yang mempunyai loji nuklear yang sedang beroperasi akan melaksanakan ujian ketahanan ke atas kesemua loji mereka. 

“Agensi-agensi berkenaan di Malaysia akan mengikuti dan meneliti hasil ujian ketahanan ini untuk diambil kira dalam kajian kemungkinan projek kuasa nuklear di negara ini,” katanya. - Bernama

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails