Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, June 15, 2011

Ribuan panik bangunan bergegar

KUALA LUMPUR 14 Jun - Ribuan orang ramai khususnya yang berada di bangunan tinggi di beberapa buah negeri gempar apabila dikejutkan dengan dua kali gegaran ekoran gempa bumi berukuran 5.5 dan 5.6 skala Richter di Sumatera Utara, Indonesia, hari ini.

Negeri yang merasai gegaran adalah Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya serta ibu negara.

Di ibu negara, penghuni lebih 15 bangunan tinggi merasai gegaran pada kira-kira pukul 8 dan 11 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, dalam dua gegaran tersebut pihaknya menerima sebanyak 15 panggilan kecemasan.

"Laporan itu dibuat selepas berlaku gegaran di 15 bangunan di sekitar ibu negara. Bomba percaya gegaran tersebut turut dirasai di bangunan tinggi lain tetapi penghuninya telah mengambil tindakan keselamatan sendiri.

"Hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang keretakan pada bangunan dan tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kebanyakan penghuni bangunan sebelum ini telah dilatih untuk keluar dari bangunan melalui tangga kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Di SEREMBAN, pekerja swasta dan agensi kerajaan yang bekerja di bangunan MAA setinggi 23 tingkat berhampiran Terminal 1, dekat sini, turut cemas selepas merasai dua gegaran tersebut.

Gegaran itu dikesan berlaku pada pukul 8.30 pagi sebelum disusuli dengan gegaran kedua pukul 11.20 pagi.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati semua pekerja terbabit telah pun berada di luar bangunan berkenaan selepas diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Difahamkan turut merasai gegaran sama ialah kakitangan kerajaan di Wisma Negeri yang menempatkan pejabat Menteri Besar serta bangunan Wisma Persekutuan dan beberapa bangunan tinggi di bandar ini.

Pengawal keselamatan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Samsuri Ibrahim, 53, memberitahu, dia merasai gegaran beberapa minit sebelum meminta beberapa rakan keluar segera dari bangunan untuk mengelakkan kejadian buruk.

"Ini kali pertama saya merasai gegaran kerana gempa bumi. Cemas dan takut. Rasa seperti tidak stabil ketika kejadian itu berlaku," katanya di sini, hari ini.

Kakitangan LHDN, Helmi Daud pula memberitahu, gegaran hanya berlaku beberapa saat sebelum keadaan kembali seperti biasa.

"Saya merasakan bangunan sedang bergoyang dan ketika itulah rakan saya berada di pejabat mula berpusu-pusu menyelamatkan diri," katanya.

Seorang lagi kakitangan LHDN, Mustafa Kamal, 37, memberitahu, bangunan tersebut dirasakan seolah-olah beralun sebaik sahaja gegaran kedua berlaku.

"Keadaan berlaku dengan pantas kerana gegaran pertama tidak dirasai dan ramai yang tidak perasan apa yang berlaku ketika itu.

"Selepas gegaran kedua berlaku, masing-masing cemas kerana bimbang jika berlaku gegaran yang lebih kuat. Jadi kami semua turun dari bangunan ini dan mencari kawasan lapang," katanya.

Bangunan MAA tersebut menempatkan kakitangan LHDN dan institusi kewangan serta insurans selain pejabat agensi swasta.

Di MELAKA, hampir 50 pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah dan bangunan kerajaan di sini panik apabila merasai dua gegaran yang berlaku pukul 8.10 pagi dan 11 pagi hari ini.

Kawasan lain yang merasai gegaran itu antaranya Taman Melaka Baru, Bukit Katil dan Taman Melaka Raya.

Di Taman Melaka Baru, lebih 20 pekerja beberapa buah syarikat di bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) kelam kabut apabila merasai empat gegaran di bangunan lapan tingkat itu.

Menurut Pegawai Khidmat Pelanggan TM, Norafiza Zainuldin, 22, dia bergegas keluar dari bangunan itu setelah melihat beberapa pekerja di tingkat enam keluar setelah merasai gegaran keempat pada pukul 11.27 pagi.

"Sebelum itu, saya yang bertugas di tingkat bawah turut berasa pening dan terhuyung-hayang dalam beberapa saat," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, setelah keluar dari bangunan itu, salah seorang pekerja syarikat lain di tingkat enam memaklumkan turut merasai tiga gegaran awal sebelum itu.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails