Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, July 4, 2011

Ambil amah tanpa ejen, agensi

KUALA LUMPUR 3 Julai – Majikan di negara ini boleh mengambil pembantu rumah warga Indonesia secara terus dari negara itu dengan mengikut prosedur baru yang ditetapkan tanpa perlu melalui khidmat ejen atau agensi berkaitan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, proses tersebut merupakan alternatif kerajaan Malaysia dan Indonesia dalam usaha meringankan beban majikan mendapatkan pembantu rumah dengan kadar yang lebih murah.

Kata beliau, perkara itu antara yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia yang berlangsung pada Mei lalu berhubung penghantaran semula pembantu rumah ke negara ini.

“Sebagai contoh, majikan itu mempunyai amah dan amah tersebut telah tamat tempoh perkhidmatan atau tidak mahu bekerja lagi, tetapi amah berkenaan ada keluarga atau kenalan yang ingin ambil alih tempatnya, jadi itu tidak menjadi masalah.

“Setakat ini, katanya, kedua-dua negara dalam proses menyenaraikan peraturan dan prosedur yang harus diikuti oleh mereka yang ingin menggunakan saluran tersebut selain menerusi proses agensi yang dipakai selama ini,’’ katanya kepada pemberita selepas Karnival My Skill 2011 anjuran Jabatan Perdana Menteri dan MIC di sini, hari ini. Presiden MIC, Datuk G. Palanivel hadir merasmikan majlis tersebut.

Subramaniam turut menjelaskan bahawa Jawatankuasa Kerja Bersama bagi memantau segala persepakatan MoU Malaysia-Indonesia telah ditubuhkan oleh kedua-dua negara.

Jelasnya, proses penghantaran akan dimulakan secepat mungkin dan Indonesia kini dalam tindakan menyelaras para pekerja yang akan dibawa masuk itu.

Beliau berkata, sebanyak 34 daripada 100 agensi pembantu rumah kini telah bersetuju dengan kadar gaji amah baru yang telah ditetapkan seperti yang terkandung dalam MoU tersebut.

Terdahulu, Subramaniam dalam ucapannya berkata, objektif karnival My Skill itu ialah untuk melatih dan menempatkan sekurang-kurangnya 5,000 pelajar India di institut-institut latihan kemahiran kerajaan.

Kata beliau, usaha menubuhkan program itu adalah kerana MIC mendapati sebahagian besar iaitu kira-kira 8,000 pelajar India yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat keputusan tidak memuaskan setiap tahun.

“Lebih mengejutkan lagi, kebanyakan pelajar itu tidak menyambung pelajaran mereka sama ada ke institut kemahiran di bawah kerajaan mahu pun swasta.

“Oleh itu, usaha ini berfokus untuk mempromosikan kepentingan latihan kemahiran mereka sekali gus menjejaki pelajar yang tercicir bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin,’’ kata beliau.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails