Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, July 27, 2011

Majlis Fatwa minta 'beer' ditukar dengan nama lain

KUALA LUMPUR 26 Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan minuman malta menggunakan nama seperti 'beer halal' atau sejenis dengannya sebagai halal diminum berdasarkan kandungan kadar alkohol yang rendah dan bukan diproses sebagaimana proses membuat arak.

Pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, bagaimanapun pengeluar dan pengedar minuman malta seperti itu diminta supaya tidak menggunakan label serta jenama yang boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna khususnya umat Islam.

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 16 hingga 18 Jun lalu, membuat keputusan berdasarkan minuman malta jenamaBarbican adalah boleh dan halal diminum oleh seluruh umat Islam.

"Barbican dan sebagainya yang diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak dan alkohol terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan sesuai dengan keputusan Muzakarah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pelancaran Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, semalam.

Sebelum ini, timbul polemik dalam kalangan pengguna dan penguat kuasa Islam di negara ini berhubung lambakan minuman malta menggunakan slogan 'beer halal' di pasaran tempatan sehingga ia diharamkan pihak berkuasa.
Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan:

a) Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol adalah arak. Hukum bagi alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak adalah haram dan najis.

b) Alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum dalam bentuk asli kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

c) Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah 1 peratus adalah harus (boleh) diminum.

d) Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

e) Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum.

f) Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak lebih 0.5 peratus.

g) Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails