Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, August 23, 2011

2,000 rumah di Malaysia berisiko tanah runtuh


KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kira-kira 2,000 buah rumah di negara ini didapati berisiko terdedah kepada ancaman tanah runtuh kerana dibina berhampiran kawasan cerun dan tanah tinggi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata, dalam kategori itu Selangor menduduki senarai teratas diikuti Sabah dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, tempat-tempat tersebut berada dalam kategori bahaya terutama jika hujan lebat untuk satu tempoh yang panjang.

"Sehubungan itu, saya telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan kajian dan penganalisisan setiap tiga bulan sekali terutamanya ketika musim hujan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Tahap berisiko itu diperolehi hasil laporan kajian oleh 111 PBT di seluruh negara. Bagaimanapun kajian itu mendapati kawasan-kawasan itu masih selamat diduduki ketika ini," katanya.

Chee Heung berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Ops Raya anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Plaza Tol Sungai Besi, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tahap keseriusan lokasi-lokasi terbabit tetapi memberitahu bahawa pembangunan di kawasan berbukit yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mempunyai kebarangkalian yang lebih rendah untuk berdepan dengan ancaman tanah runtuh.

Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan pemaju perumahan di kawasan berhampiran cerun tinggi untuk melantik pemeriksa bebas daripada Lembaga Jurutera Malaysia bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat diduduki.

"Ini bermakna, selain jurutera dari Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju perlu mengemukakan satu lagi laporan kejuruteraan daripada pemeriksa bebas bagi mengesahkan kawasan tersebut benar-benar selamat," ujarnya.

Beliau menjangkakan cadangan itu akan dikemukakan ke Kabinet selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails