Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, August 24, 2011

Lebih sejuta jawatan kosong ditawarkan kerajaan untuk rakyat tempatan


PUTRAJAYA 23 Ogos - Lebih sejuta jawatan kosong ditawarkan kerajaan untuk diisi rakyat tempatan di lapan kementerian dan agensi berkaitan sebelum bakinya diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Program 6P.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim berkata, statistik tersebut diperoleh hasil maklum balas semua kementerian dan agensi berkenaan kepada KDN dalam Mesyuarat Taklimat Proses Pemutihan Program 6P semalam.

Katanya, kekosongan jawatan itu membabitkan lima sektor utama yang banyak menggunakan khidmat tenaga pekerja asing sebelum ini iaitu perkilangan, pembuatan, perladangan, pertanian dan pembinaan.

"Daripada kekosongan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyenaraikan jumlah paling tinggi iaitu 275,723 kekosongan, diikuti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak 237,700 kekosongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebanyak 220,000 tempat.

"Kemudian, ia diikuti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (165,000), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (140,000), Kementerian Dalam Negeri (10,000) Kementerian Pelancongan (2,041) dan Kementerian Pengangkutan (963)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Alwi menggesa rakyat tempatan yang masih menganggur merebut peluang tersebut apabila semua kekosongan jawatan itu diiklankan secara berperingkat bermula Khamis ini.

"Selepas proses ini, peringkat seterusnya ialah pemadanan antara permintaan keperluan majikan dengan senarai PATI yang berdaftar dengan Program 6P untuk mengisi kekosongan yang tidak diisi penduduk tempatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alwi berkata, sehingga hari ini lebih dua juta pekerja asing sah dan PATI berjaya didaftarkan menerusi program tersebut.

"Sehingga 8.30 pagi ini rekod menunjukkan seramai 2,210,235 orang sudah didaftarkan di mana 1,215,004 adalah PATI yang didaftarkan menerusi Program 6P yang dilanjutkan tempoh pendaftarannya dilanjutkan sehingga akhir bulan ini.

"Justeru, kementerian menggesa semua PATI dan majikan mengambil kesempatan ini dan berjanji tiada tangkapan akan dibuat terhadap mereka," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails