Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Saturday, August 13, 2011

Jakim sahkan produk kosmetik SimplySiti halal


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan bahawa produk kosmetik jenama SimplySiti adalah halal dan kesal atas penyebaran dakwaan yang tidak tepat mengenainya sebelum ini.

Jurucakap Bahagian Hab Halal Jakim dalam satu kenyataan memberitahu, penyebaran dakwaan yang tidak benar mengenai produk itu boleh mengelirukan pengguna Islam dan menjejaskan perniagaan syarikat itu.

"Jakim dengan ini menjelaskan bahawa berus yang ditemui bukanlah berus yang digunakan di dalam produk SimplySiti, tetapi adalah berus yang digunakan untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan kilang.

"Pihak Simplysiti telah mengambil tindakan pembetulan dengan mengeluarkan berus berkenaan dari kawasan proses dan telah menjalankan proses samak sebaik sahaja keputusan laporan analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia dimaklumkan kepada syarikat itu," jelas kenyataan itu.

Isu itu timbul ekoran penyebaran maklumat daripada blog tempatan sebelum ini yang mendakwa produk SimplySiti menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi.

Menurut kenyataan itu, Jakim juga telah menerima laporan pengesahan samak yang dikeluarkan oleh Korean Muslim Federation (KMF) dan disahkan oleh A. Rahman Lee, Ju Hwa (Imam Besar Masjid Seoul).

Dalam pada itu, Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberi jaminan produk SimplySiti di pasaran adalah mematuhi syarat piawaian halal Jakim.

"Pihak kami selama ini bekerjasama rapat dengan Jakim dalam setiap proses sebelum sesuatu produk itu dihasilkan dan dipasarkan untuk kegunaan orang awam," katanya.

Beliau berkata, penghasilan produk yang ingin mendapat pengesahan halal Jakim perlu melalui proses pemeriksaan dan siasatan yang terperinci termasuk pengangkutan, simpanan, pengeluaran serta pekerja supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails