Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, August 24, 2011

PTPTN saman 184,083 gagal bayar pinjaman


KUALA KRAU 23 Ogos - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertindak menyaman 184,083 peminjam setelah mereka gagal menjelaskan pinjaman sehingga 31 Julai lalu.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, seramai 93,861 peminjam telah menerima surat saman dari mahkamah.

Jelasnya, berikutan itu seramai 8,893 orang bersetuju membayar pinjaman manakala 59,540 peminjam terus ingkar dan bakinya tidak memberi sebarang maklum balas.

"PTPTN menarik balik saman terhadap 4,712 peminjam setelah mereka bersetuju menjelaskan pinjaman masing-masing melalui pelbagai kaedah.

"Secara keseluruhannya sehingga akhir bulan lepas seramai 19,499 peminjam masih dalam kategori aktif untuk disaman kerana sikap mereka yang lepas tangan untuk membayar hutang walaupun berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pesakit dan majlis berbuka puasa di pekarangan Hospital Jengka semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Pengarah Hospital Jengka, Dr. Safaridah Anuar.

Ismail memberitahu, seramai 132,801 peminjam telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen akibat kegagalan mereka membayar pinjaman PTPTN.

Katanya, daripada bilangan itu seramai 15,931 peminjam membuat bayaran balik melibatkan kutipan kira-kira RM135 juta.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kini seramai 516,079 orang telah menunaikan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) berjumlah RM755.52 juta dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi September ini membabitkan peruntukan sebanyak RM53.22 juta.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails