Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, October 14, 2011

7,113 pohon 560 rumah PR1MA



PUTRAJAYA - Semua 7,113 borang permohonan bagi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan menjalani proses ketat untuk memastikan pemohon yang berjaya adalah mereka yang benar-benar layak, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Katanya, unit itu akan memproses semua permohonan dengan dipantau oleh perunding juruaudit bertauliah iaitu KPMG Business Advisory Sdn. Bhd. (KPMG).
"Ia bagi memastikan tiada sikap pilih kasih, pemilihan adil dan telus dijalankan supaya mereka yang layak sahaja dipertimbangkan untuk memiliki rumah tersebut," katanya pada satu taklimat khas untuk media berhubung perkembangan terkini mengenai proses permohonan tersebut.
Dalam taklimat itu, pihak media menyaksikan bagaimana semua nombor pemohon diletakkan di dalam peti khas yang kemudian dikunci sebelum diletakkan di bilik kebal.
Katanya, peti tersebut hanya akan dibuka pada majlis pengundian pada Sabtu ini yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kompleks Kejiranan, Presint 11 di sini.
Abdul Mutalib memberitahu, semua nombor permohonan akan disemak dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu warna biru untuk pemohon yang belum mempunyai rumah dan ia berjumlah 5,943 orang manakala warna merah jambu bagi pemohon yang sudah memiliki sebuah rumah iaitu berjumlah 1,170 orang.
Program fasa pertama PR1MA ini memperuntukkan 560 unit rumah.
"Undian akan dibuat sebanyak dua kali iaitu (untuk menentukan) 560 permohonan yang akan diletakkan di bawah senarai pertama dan (untuk menentukan) 560 lagi di bawah senarai simpanan.
"Sekiranya dalam proses tapisan didapati ada maklumat-maklumat yang diberikan tidak benar maka permohonan dianggap tidak berjaya dan akan digantikan dengan pemohon yang berada dalam senarai simpanan," jelasnya.
Rumah mampu milik di bawah program itu berharga antara RM120,000 hingga RM150,000 dan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. di Presint 11 di sini.
Pendaftaran permohonan dibuat dalam talian di www.pmo.gov.my serta di beberapa lokasi di Putrajaya, permohonan dibuka pada 30 September lepas dan ditutup pada tengah malam semalam.
Syarat kelayakan warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, bekerja atau bermastautin di Putrajaya, pengundi berdaftar di Parlimen Putrajaya dan pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM6,000 sebulan (suami dan isteri). - Bernama

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails