Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, October 12, 2012

ATM ke final kempen Piala Malaysia 2012

ZAQUAN Adha (kiri) dihalang dua pertahanan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala Malaysia 
di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi. ATM mara ke final selepas menang 5-4 menerusi penalti

PENJAGA gol, Farizal Harun layak dijulang sebagai wira apabila membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempah slot ke final kempen Piala Malaysia 2012 sebaik menewaskan Lions XII menerusi sepakan penalti 5-4 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.
Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat menerusi agregat 2-2 sebaik masa sebenar tamat apabila perlawanan berkesudahan seri 1-1.
Ketika perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada masa tambahan, Farizal akhirnya muncul wira apabila berjaya menepis dua sepakan penalti Lions XII yang gagal disempurnakan Shaiful Esah dan Baihakki Khaizan.
Penyerang gantian ATM, Fitri Omar akhirnya tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir sebelum sepakan pemain Lions XII, Yasir Hanapi sekadar terkena tiang.
Kecemerlangan Farizal malam tadi turut dilihat berjaya menebus kegagalan dua pemain ATM, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan A. Varanthan yang terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.
Pada masa sama, kemenangan itu juga menyaksikan ATM berjaya menjejak pentas final di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini buat kali pertama dalam tempoh 46 tahun.
Terdahulu, keghairahan ATM memburu gol akhirnya dihukum pelawat apabila rembatan penyerang Lions XII, Agu Casmir tertampan tonggak pertahanan ATM, sekali gus menewaskan Farizal pada minit ke-26.
Tersentak dengan jaringan tersebut, ATM yang terdesak memburu jaringan penyamaan kembali bangkit melakukan serangan bertali arus, namun masih gagal memecah kebuntuan.
Begitupun, percaturan jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy mengeluarkan kapten, Shahril Ishak ternyata mengundang padah apabila penyerang import ATM, Marlon Alex James akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.
Pasukan pelawat bertambah tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Isa Halim diperintahkan keluar padang pada awal masa tambahan gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Zaquan Adha Abdul Radzak.
Kesempatan itu begitupun gagal dimanfaatkan ATM apabila penjaga gol pelawat, Izwan Mahmud bertindak cemerlang menggagalkan percubaan Marlon pada penghujung perlawanan.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini juga terikat 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.
Satu lagi finalis bakal ditentukan antara Selangor dan Kelantan dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.
Kelantan ketika ini mendahului menerusi agregat 1-0 hasil jaringan Nur Farhan Muhammad di Kota Bharu minggu lalu.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails