Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, October 19, 2012

KAFA didenda RM40,000


Petaling Jaya: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM40,000 semalam - dua hari sebelum final Piala Malaysia, gara-gara tindakan penyokongnya membaling botol minuman ke padang ketika perlawanan Kumpulan B menentang Tentera di Stadium Selayang, 28 Ogos lalu. 

Hukuman denda tinggi dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu umpama amaran awal kepada ribuan penyokong The Red Warriors supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam esok. 

Jika terus berdegil, mereka pasti sukar melarikan diri kerana setiap kelakuan dan tindakan pada aksi final itu nanti diperhatikan dengan pemasangan kamera di setiap sudut stadium berkenaan sebagai langkah awal mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak, berkata tuan rumah perlawanan terbabit, Tentera tidak dihukum kerana insiden itu yang disiarkan secara langsung di televisyen jelas menunjukkan kejadian baling botol dilakukan penyokong Kelantan.


“Kita ada garis panduan dalam Kod Tatatertib FAM 2011 yang menyatakan kelakuan penyokong mana-mana pasukan tertakluk kepada persatuan negeri masing-masing, tidak kiralah siapa yang menjadi tuan rumah.

“Memang jelas nampak seperti hujan botol minuman itu dibaling ke arah padang sehingga menyebabkan perlawanan tertangguh selama 17 minit,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tatatertib FAM di Kelana Jaya, semalam. 
Taufik berkata, KAFA turut ingkar apabila menghantar Borang B (mengaku tidak bersalah) dua hari lewat daripada tarikh ditetapkan.

“Walaupun hukuman maksimum ke atas kesalahan itu ialah RM100,000, jawatankuasa hanya mengenakan denda RM40,000 dan KAFA boleh merayu dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa juga mendenda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) RM15,000 kerana penyokongnya membakar mercun roket selepas lagu Negaraku dan membaling mercun ‘air-bomb’ ke arah trek dan penjaga garisan.

“Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula didenda RM10,000 kerana penyokongnya membaling mercun 'air-bomb' dengan serpihannya terkena penjaga garisan,” katanya.

Katanya, jawatankuasa turut mendenda Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) RM5,000 kerana penyokongnya membaling botol minuman dan bungkusan cili boh ke arah pengadil dan penjaga garisan.

“Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) didenda RM1,000 kerana penyokongnya membakar suar (flare) dan mercun,” katanya.

Rabu lalu BH Sukan melaporkan setiap kelakuan dan tindakan penyokong pada final Piala Malaysia antara Kelantan dan Tentera, malam esok akan diperhatikan.

Itu adalah peringatan FAM yang bertindak memasang kamera di setiap sudut stadium berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Salleh Md Rashid dilaporkan berkata semua kamera tersembunyi itu dipasang di dalam dan luar stadium bagi mengawal penyokong daripada bertindak negatif dan membawa bahan yang dilarang seperti mercun dan vuvuzela.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails