Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Saturday, October 20, 2012

Piala Malaysia: Karathu pilih Kelantan juara


KOTA BHARU – Bekas pengendali The Red Warriors musim lalu, Datuk M Karathu meramalkan Kelantan mampu menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 seterusnya meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua, malam ini.
Berdasarkan prestasi terkini, Karathu berkata, beliau tidak nampak bekas pasukan bimbingannya tidak berupaya menundukkan skuad kendalian B Sathianathan dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam esok.
“Saya pilih Kelantan sebagai juara Piala Malaysia 2012. Anda kena terima hakikat Kelantan merupakan sebuah pasukan bola sepak terhebat di negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
“Bila saya menyaksikan siaran langsung pertemuan ATM dengan Kelantan dalam peringkat kumpulan di Selayang yang berkesudahan seri 1-1 tidak lama dulu, saya memang jangka kedua-dua pasukan pasti akan bertemu dalam perlawanan akhir.
“Ternyata tekaan saya tepat, apabila ATM dan Kelantan sekali lagi berentap dan menjadikan pentas final sebagai medan untuk membuktikan kehebatan tersendiri. Sudah pasti aksi perlawanan akhir malam ini akan menyajikan satu kualiti bola sepak tersendiri daripada kedua-dua pasukan,” katanya.
Bekas jurulatih berusia 70 tahun itu bagaimanapun tidak menolak Kelantan bakal berdepan laluan sukar memandangkan gagal menurunkan barisan terkuat mereka pada perlawanan ini.
“Sedikit malang kerana Kelantan turun tanpa Mohamad Ghaddar dan Mohd Norfarhan (Muhammad) tetapi saya tidak nampak itu satu kecacatan bagi skuad kendalian Bojan Hodak.
“Kelantan banyak bergantung kepada Matyo (Norshahrul Idlan Talaha) namun prestasinya kurang menonjol sepanjang tahun ini. Dia perlu digandingkan dengan Indra Putra (Mahayuddin) jika jentera serangan mahu tampil lebih agresif malam ini,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan ATM, Karathu berkata, skuad yang terkenal dengan jolokan The Gladiators itu turut mempunyai kelebihan sendiri menewaskan Kelantan jika rangkaian pemain sayap mereka dibiarkan bergerak bebas.
“Kita tahu larian pantas Christie (Jayaseelan) dan Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak) menjadi senjata sulit bagi pasukan ATM. Hai-O (Hairuddin Omar) dan Marlon (Alex James) hanya menunggu masa sesuai menjaringkan gol jika mendapat hantaran tinggi daripada kedua-dua pemain sayap itu.
“Jadi Kelantan perlu sekat hantaran tinggi mereka. Jika itu berjaya dilakukan, saya percaya Kelantan mampu mengalahkan ATM sebagaimana mereka buktikan ketika menang 4-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan di Kota Bharu awal September lalu,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails