Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, March 27, 2013

Jakim lancar aplikasi telefon pintar kesan premis makanan halal


Umat Islam kini boleh mengesan premis yang memiliki sijil halal menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi 'Halal Square'dan 'Halal Inside'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sistem itu memaparkan carian status halal syarikat, produk, premis makanan dan menu yang tersenarai dalam direktori Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta lengkap dengan tarikh luput sijil halal.
"Ia mampu memberikan maklumat dimana nak cari restoran dan juga premis makanan yang bukan sekadar halal tetapi ada sijil halal dari Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.
Pengguna telefon pintar berasaskan Android, ios dan Windows Phone 8 boleh memuat turun aplikasi itu secara percuma bermula hari ini.
Aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama strategik antara Jakim dan syarikat reka bentuk litar elektronik, Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd (My-MS).
Jamil Khir berkata, pelaksanaan aplikasi itu dilihat dapat merancakkan industri halal dalam negara.
"Siapa yang dapat sijil halal ia semacam diiklankan pula dalam telefon bimbit yang ada aplikasi Halal Square dan Halal Inside dan ini merupakan satu peluang tambahan kepada peniaga," katanya, sambil berharap My-Ms dapat memperluaskan penggunaan aplikasi itu meliputi produk farmaseutikal dan barangan kecantikan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif My-MS Sdn Bhd Amirul Syafiq Ali berkata, aplikasi Halal Square adalah berasaskan teknologi 'near field communication' dan 'geo location' yang berupaya menunjukkan arah dan jarak perjalanan ke premis makanan halal terbabit.
"Manakala Halal Inside pula membolehkan pengguna mengemas kini status dan berinteraksi sesama rakan mengenai premis halal terbabit secara 'real time'," katanya.
Amirul Syafiq menambah pengguna aplikasi terbabit boleh menggunakannya di seluruh dunia bagi mencari premis makanan halal yang disahkan oleh badan atau agensi Islam yang mempunyai hubungan dengan Jakim. - Bernama

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails