Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, April 10, 2013

Hari Mengundi PRU 13 ditetapkan pada 5 Mei 2013


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 20 April ini, manakala pengundian pada 5 Mei.

Tempoh berkempen ialah selama 15 hari berbanding 13 hari pada pilihan raya umum 2008. Pengundian awal ditetapkan pada 30 April. 

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di ibu pejabat SPR, jam 12.30 tengah hari tadi yang disiarkan di TV3, RTM1, NTV7, 8TV and TV9. 

Abdul Aziz berkata, seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan esok.

Katanya, pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU-13 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu.

Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas. 
Abdul Aziz berkata, SPR menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat. 

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak, dibubarkan setakat 5 April dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Abdul Aziz berkata, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan esok dan notis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.

Beliau berkata berdasarkan daftar pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.

Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara). 

Abdul Aziz berkata sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU-13 membabitkan 234,905 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran mengundi. 

Bagi pengundian biasa, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran mengundi.

Empat peraturan baru akan diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian iaitu penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan. 

Peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012. Ia diwartakan tahun lalu.

Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi awal.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails