Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, September 23, 2010

Bayar PTPTN melalui potongan gaji dijangka bermula 2013

SINTOK: Bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji dijangka hanya dapat dilaksanakan pada 2013. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana pelbagai kajian serta rundingan perlu dilakukan demi kepentingan semua pihak sebelum ia dapat dilaksana. 
"Apa yang disiarkan media mengenai pemotongan gaji bermula Jun 2011 adalah  salah kerana pada tarikh itu kita jangka rundingan mengenainya baru selesai.  "Selepas rundingan itu selesai pertengahan tahun depan, kita kena bentang  pada Kabinet dan pinda undang-undang bertepatan sebelum melaksanakannya,"  katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Beliau berkata walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan kaedah mewajibkan bayaran balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), namun masa yang sebenarnya belum ditetapkan. Malah kata Mohamed Khaled, jika dilaksanakan ia mungkin hanya diwajibkan ke  atas peminjam baru manakala bayaran balik peminjam lama adalah mengikut kaedah  sedia ada. 
Selain itu kata beliau, pihaknya juga akan menetapkan gaji minima bagi membolehkan pemotongan dibuat.  Baru-baru ini PTPTN dilapor akan melaksanakan pemotongan gaji secara  wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat  demikian mulai Jun tahun depan. 
Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said dilapor berkata semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui LHDN.  Sementara itu, mengenai rungutan sesetengah peminjam bahawa mereka masih  menanggung kos pentadbiran sebanyak tiga peratus walaupun PTPTN mengurangkannya kepada satu peratus, Mohamed Khaled berkata langkah penyeragaman tersebut akan mengambil masa.  Ini kerana katanya, PTPTN terpaksa menyemak satu persatu dokumen lebih 1.5  juta peminjam. 
"Setiap peminjam buat bayaran tak sama, ada yang lebih ada yang kurang, jadi  kita kena kira satu-satu sebab tu ambil masa sikit nak tukar dari tiga peratus  kepada satu peratus.  "Yang penting jangan risau sebab caj satu peratus itu memang dilaksanakan," katanya.  Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum  persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia dan University of Nottingham,  Malaysia Campus. - Bernama

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails