Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, October 7, 2010

Bayi mati digigit kera

KAKITANGAN Perhilitan berjaya menembak seekor kera liar yang dipercayai menyerang dan membunuh bayi perempuan berusia empat hari di Taman Happy, Rasah, Seremban, semalam.

SEREMBAN 6 Okt. - Seorang bayi perempuan yang baru berusia empat hari mati dipercayai akibat diserang sekumpulan kera liar ketika ditinggalkan bersendirian di ruang tamu kediaman datuknya di Taman Happy, Rasah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, bayi malang yang belum sempat didaftarkan kelahirannya itu meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.
Datuk mangsa, A. Valayutham, 70, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTJ memberitahu, ketika kejadian dia menjaga cucunya itu kerana ibu mangsa, V. Revathy, 26, berada di bilik air dan isterinya pula memasak di dapur.
"Saya meletakkan cucu saya sebentar di ruang tamu kerana mahu mengambil minuman di dapur. Bagaimanapun, ketika saya di dapur tiba-tiba Revathy menjerit memberitahu bahawa anaknya tiada di ruang tamu," katanya di sini hari ini.
Jelas Valayutham, sebaik sahaja mendapati bayi itu hilang, mereka bertiga berusaha mencarinya di seluruh bahagian rumah, namun gagal.
"Saya kemudian bergegas keluar dari rumah dan melihat tubuh cucu saya dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan gigitan di leher dan kepala terbaring di tepi sebatang pokok bunga.
"Pada masa yang sama, saya ternampak beberapa ekor kera berlari ke arah belukar yang terletak bersebelahan dengan rumah saya," ujarnya.
Tambah Valayutham, dia segera membawa bayi berkenaan ke HTJ sebelum disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah.
Dalam pada itu, bapa mangsa yang merupakan seorang pemandu lori, V. Neru, 29, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.
"Saya terkejut selepas isteri menelefon dan memberitahu bahawa anak kami dimasukkan ke hospital kerana digigit kera. Apabila tiba di hospital saya berasa amat sedih apabila isteri memberitahu bahawa anak saya sudah tiada," katanya sebak.
Menurut Neru, isterinya melahirkan anak pertama mereka itu pada Ahad lalu dan mereka masih belum mendaftarkan kelahirannya.
"Bayi ini merupakan anak pertama kami selepas hampir setahun berkahwin. Saya sedih kerana belum sempat kami memberinya nama, dia sudah meninggal dunia," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails