Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, January 13, 2011

Pengawal terima gaji baru bulan ini

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengawal keselamatan dijangka menerima gaji minimum RM700 akhir bulan ini. Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohammed, berkata kerajaan tidak berganjak daripada keputusannya bahawa pelaksanaan gaji minimum itu bermula 1 Januari lalu.

“Jika ada pengawal keselamatan tidak menerima gaji baru pada 31 Januari ini, mereka harus bertanya majikan dan membuat laporan kepada Pejabat Tenaga Kerja sekiranya masih tidak ada perubahan selepas itu,” katanya, semalam. 

Sheikh Yahya berkata, jabatan itu sudah berjumpa Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi menjelaskan keputusan kerajaan mengenai gaji minimum berkenaan. 

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik keputusan kerajaan yang disifatkannya seiring dengan resolusi yang dibuat pada persidangan bulan lalu. 

Naib Presidennya, A Balasubramaniam, berkata resolusi itu meminta kerajaan tidak menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan dan tidak tunduk kepada tekanan majikan. 
Di bawah skim gaji baru ini, pengawal keselamatan menerima gaji bulanan RM1,200 termasuk upah kerja lebih masa. Kini gaji mereka antara RM450 hingga RM750 bergantung kepada lokasi bekerja. 

Sementara itu, tinjauan mendapati kebanyakan majikan sedia melaksanakan skim gaji baru walaupun keberatan.  Ketua Pegawai Eksekutif Eagle Eye Security, K Bahadur, berkata syarikatnya akan patuh dengan keputusan kerajaan. 

“Kami sudah menyediakan gaji baru untuk kira-kira 200 pekerja,” katanya.  Seorang lagi majikan yang tidak mahu dikenali berkata, syarikatnya tidak mampu menaikkan gaji pekerja, namun mematuhi keputusan kerajaan kerana lesen operasi menjadi taruhan.  “Jika tidak, kemungkinan lesen tidak akan dapat diperbaharui,” katanya. – BERNAMA 

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails