Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, February 17, 2011

Situasi di Mesir belum selamat – Duta

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Rakyat dan penuntut Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air ekoran krisis politik di Mesir masih belum boleh kembali ke negara itu berikutan situasi yang dikhuatiri masih tidak selamat.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Dr. Mohd. Fakhruddin Abdul Mukti (gambar) berkata, pihaknya bimbang keadaan akan kembali tegang apabila terdapat berita akan berlaku tunjuk perasaan besar-besaran pada Jumaat ini di ibu negara Mesir, Kaherah.

“Walaupun keadaan sekarang sudah kembali seperti biasa terutama di Kaherah, kita masih bimbang dengan keselamatan penuntut-penuntut Malaysia jika kembali ke Mesir.

“Jadi, kita belum boleh mengeluarkan sebarang arahan untuk mereka kembali kerana ia melibatkan jumlah yang ramai. Kita juga bimbang mengenai laporan tentang isu makanan yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas keadaan terkini di Mesir ekoran krisis politik yang menimbulkan huru-hara di negara itu sejak beberapa minggu lalu.

Mohd. Fakhruddin berkata, pihak tentera dan polis Mesir juga masih mengawal keadaan terutama di jalan-jalan di sekitar Kaherah.

“Banyak juga berita memaparkan tindakan dan serangan oleh golongan tertentu termasuk samseng di luar Kaherah yang masih berlaku. Jika kita benarkan rakyat Malaysia kembali ini mungkin akan menjejaskan keselamatan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai pengajian penuntut-penuntut Malaysia yang terjejas beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir bagi menentukan tarikh sebenar kuliah bermula.

Buat masa ini jelasnya, tarikh kuliah yang dikeluarkan oleh kebanyakan universiti terutama Universiti Al-Azhar akan bermula pada 19 Februari ini.

“Namun, kita akan menunggu pegawai daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk datang berbincang dengan pihak universiti di Mesir. Sehingga kini belum ada kepastian tentang kedudukan penuntut Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, suasana di negara itu terutama di Kaherah dan Iskandariah diharap akan kembali tenang dalam tempoh beberapa hari ini.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails