Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, August 2, 2011

GIM 1 peroleh bidaan tertinggi RM1.3 juta

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Nombor plat kenderaan Gagasan 1Malaysia (G1M), G1M 1 berjaya mendapat bidaan tertinggi iaitu RM1.3 juta sejak ia mula dijual kepada umum pada tahun lalu.

Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mohktarrudin berkata, sejak dilancarkan, sebanyak 1,500 siri nombor pendaftaran kenderaan persatuan tersebut telah habis dijual.

"Setakat ini nombor plat G1M 1 telah mencatat bidaan tertinggi iaitu RM1.3 juta. Dua nombor pendaftaran yang turut mendapat sambutan hangat ialah G1M 5 dan G1M 2 yang berjaya dijual dengan harga RM300,000," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Nombor plat kenderaan G1M merupakan nombor pendaftaran khas kenderaan yang boleh dimiliki menerusi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia.

Menurut beliau, sambutan hangat itu telah mendorong pihaknya memohon kepada Kementerian Pengangkutan untuk menambah siri nombor pendaftaran berkenaan.

"Alhamdulillah, sejak dilancarkan, ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga kami perlu memohon untuk menambah nombor siri.

"Pihak kementerian juga telah meluluskan permohonan kami itu dan nombor plat G1M untuk siri 2001 hingga 9999 telah mula dijual kepada umum sejak 15 Julai lalu,'' jelasnya.

Kata Muhamad Muqharabbin, sebahagian daripada hasil jualan nombor plat tersebut akan disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Negara; Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia dan Yayasan Basmi Kemiskinan dan 10 kelab rekreasi di Malaysia.

Tambah beliau, selebihnya akan digunakan untuk program-program ekspedisi yang bakal diadakan oleh kelab tersebut pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin juga berkata, pihaknya telah membuka pembidaan untuk nombor-nombor plat popular bermula 15 Julai sehingga 15 Ogos ini.

"Nombor-nombor plat ini dijual pada harga RM2,000 setiap satu tetapi bagi nombor-nombor popular, kami akan menjual kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi. Nombor-nombor berkenaan boleh didaftarkan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara," jelasnya.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Khairil Hafidz di talian 012-2585159 atau layari laman web www.platg1m.com untuk keterangan lanjut.

1 comment:

Unknown said...

: bazir jerr smpai berjuta beli no plat.. huhu

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails